Ringgit ditutup lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu ditutup hari ini, dipacu oleh sentimen positif susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) semalam.

Pada 6 petang, mata wang tempatan di paras 4.1140/1190 berbanding dolar AS daripada 4.1220/1260 sewaktu ditutup pada Jumaat lalu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata RCEP akan menyumbang dari segi mengekalkan Malaysia sebagai hab perdagangan dan destinasi pelaburan pilihan.

Beliau turut menyifatkan perjanjian dimeterai ASEAN berserta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand itu turut berperanan sebagai mekanisme pemulihan ekonomi bagi menangani COVID-19 serta membantu memastikan pasaran dan rantaian bekalan terus dibuka.

Seorang penganalisis berkata, sentimen positif di pasaran itu juga berkemungkinan didorong oleh kejutan positif membabitkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang susut 2.7 peratus berbanding penguncupan 4.6 peratus dalam jangkaan awal.

Dalam pada itu, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lainnya.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0562/0604 daripada 3.0558/0608 dan susut berbanding yen kepada 3.9350/9405 daripada 3.9246/9288.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4185/4268 daripada 5.4291/4360 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.8722/8798 daripada 4.8743/8802.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini