Harga emas dijangka mampu cecah RM350 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas dijangka mampu cecah RM350 segram



KUALA LUMPUR: Harga emas memiliki kemampuan untuk menguji paras tertinggi baharu AS$2,450 (RM9,922.29) seauns atau RM350 segram untuk tempoh jangka panjang.

Ahli Strategi Pasaran CGS-CIMB Singapura, Jeremy Ng, berkata potensi harga emas untuk meneruskan momentum positifnya bakal disokong pemacu utama iaitu jangkaan pemotongan kadar faedah baharu di seluruh dunia.

Katanya, pemulihan ekonomi dunia yang perlahan selepas terjejas dengan COVID-19 juga mendorong lonjakan berterusan harga emas untuk tempoh jangka panjang, malah dalam 'bullish case' ia berkemampuan mencecah paras AS$3,370 (RM13,648.20) seauns (atau RM481.43 segram).

"Kita melihat pemulihan bentuk V yang goyah dan langkah sekatan perjalanan yang berada pada pusingan baharu di kebanyakan negara ternyata memacu harga emas untuk mencecah paras tertinggi baharu.

"Malah, langkah 81 bank pusat di seluruh dunia mengurangkan kadar faedah tahun ini sebagai tindak balas kepada pandemik turut merangsang harga emas," katanya pada sesi webinar CGS-CIMB Insights : Singapore Insight Gold - The Long-Term Bet, baru-baru ini.
Ng berkata, emas turut memiliki kitaran 8-tahun dengan persekitaran pada masa ini berapa pada titik yang baik untuk terus melonjak.

"Berdasarkan kitaran 8-tahun dari 1977, harga emas melonjak 72 peratus, 24 peratus, 277 peratus dan 152 peratus. Bagi bermula 2017, harga emas sudah melonjak 62 peratus dari paras terendah AS$1,147 (RM4,645.25) seauns.

"Dengan menggunakan paras kenaikan purata 130 peratus dari tahap rendah, pasaran lonjakan sekular semasa boleh mencapai paras tertinggi baharu dengan satu lagi kenaikan 30 peratus kepada AS$2,450 seauns," katanya.

Beliau menjelaskan, persekitaran kadar faedah yang rendah memberi sokongan yang kukuh kepada harga emas.

Katanya, dengan mengambil kira dasar kadar faedah sifar (ZIRP) bermula Disember 2008 yang menyaksikan emas melonjak 116 peratus dalam tempoh tiga tahun kemudian, ia berpotensi memberi sokongan kepada logam berharga itu untuk meneruskan momentum menaik.

"Kita melihat ZIRP baru-baru ini pada Mac 20120 sudah menunjukkan harga emas bergerak lebih tinggi iaitu 18 peratus, jadi langkah Rizab Persekutuan (FED) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kadar faedah sifar akan kekal sekurang-kurangnya tahun 2023. Ia bagus untuk emas sebagai pelaburan selamat.

"Langkah pengembangan dasar kualitatif juga dilihat memacu harga emas. Ia membuka ruang kepada logam berharga 'beraksi' dengan baik dalam era percetakan wang global yang tidak pernah berlaku ketika ini," katanya.

Ng berkata, indeks dolar AS juga berada dalam tempoh kemerosotan berdasarkan kitaran 8-tahun, manakala pemulihan ekonomi AS juga membimbangkan dengan pemulihan bentuk V dilihat kurang berdaya tahan untuk tempoh jangka pendek.

"Emas berada dalam kitaran awal dengan dasar monetari menjadi pemangkin kukuh kepada harga lebih tinggi. Peningkatan kes COVID-19 juga menyebabkan ekonomi mencatatkan pemulihan perlahan dalam jangka pendek yang mana menyokong emas," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini