Ringgit dijangka mengukuh minggu hadapan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka mengukuh minggu hadapan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh antara RM4.0375 dan RM4.0575 minggu hadapan daripada RM4.0415 pada Jumaat dalam persekitaran kebimbangan terhadap ekonomi mikro dan makro akibat penularan semula COVID-19.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga suntikan vaksin dapat memberi perbezaan yang munasabah pada sekitar Mac atau April hadapan.

"Saya menjangka risiko tidak akan reda minggu depan dan dolar akan mulai menarik aliran aset selamat lebih besar yang bakal menjejaskan sentimen ringgit," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata minggu yang akan datang dijangka akan berlaku peristiwa besar yang boleh mengubah sentimen risiko global, daripada musim menjana pendapatan Amerika Syarikat (AS) sehingga data ekonomi dari AS dan China, serta keputusan kadar Rizab Persekutuan AS.

Di pasaran tempatan, prestasi perdagangan luaran Malaysia pada bulan Disember akan diumumkan pada Jumaat hadapan dengan pasaran menjangkakan eksport akan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut walaupun import mungkin mencatatkan penguncupan tahun ke tahun sejak Mei kerana keadaan ekonomi domestik yang lembap.

"Prestasi ringgit sebahagian besarnya ditentukan oleh prestasi jangka pendek dolar AS, serta respons kesihatan dan ekonomi Malaysia terhadap PKP yang sedang berlangsung," katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit bersama-sama peso Filipina, rupiah Indonesia dan won Korea Selatan mencatatkan penurunan mingguan berbanding dolar AS.

Unit tempatan diperdagangkan antara 4.0500/0540 dan 4.0280/0320 berbanding dolar US.
PKP yang dilaksanakan di enam negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kelantan, dan Sabah serta Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dilanjutkan sehingga 4 Februari untuk mengekang penularan COVID-19.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah berbanding dolar US pada 4.0415/0445 daripada 4.0350/0380 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit juga didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0451/0485 daripada 3.0386/0418 minggu sebelumnya dan melemah berbanding euro kepada 4.9197/9246 daripada 4.8977/9021.

Ringgit, bagaimanapun jatuh berbanding yen kepada 3.8984/8021 daripada 3.8918/8962 dan susut berbanding pound kepada 5.5231/5288 daripada 5.5029/5086 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini