Ringgit kembali mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali mengukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pengesahan penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan prospek stabil oleh Moody's Investors Service membantu meningkatkan minat risiko terhadap mata wang tempatan itu.

Pada penutup dagangan, ringgit meningkat kepada 4.0400/0450 berbanding dolar AS daripada 4.0440/0470 pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pengesahan penarafan itu telah mencetuskan keyakinan pelabur terhadap pengurusan fiskal Malaysia.

"Pada Disember, Fitch Ratings menurunkan penarafannya terhadap Malaysia. Jadi, penarafan terkini ini adalah bukti kepada pengurusan kedudukan fiskal kerajaan," katanya kepada Bernama.

Moody's pada Khamis mengumumkan ia mengesahkan penarafan hutang tidak bercagar senior mata wang tempatan dan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Sementara itu, Adam berkata dolar yang lemah berikutan tekanan daripada sekatan dagangan ke atas saham GameStop turut membantu meningkatkan sentimen terhadap ringgit.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0369/0416 daripada 3.0491/0520 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8524/8575 daripada 3.8956/8996.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound Britian kepada 5.5207/5291 daripada 5.5536/5594 dan menokok berbanding euro kepada 4.8945/9021 daripada 4.9021/9131.

Pasaran tempatan ditutup pada Khamis sempena cuti umum Hari Thaipusam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini