Ringgit kembali meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penurunan selama tiga hari berturut-turut untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan sentimen pasaran yang mendorong selera risiko terhadap mata wang pesat membangun, kata peniaga.

Sewaktu ditutup, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0440/0470 berbanding dolar AS daripada 4.0470/0500 pada Selasa.

"Sentimen di pasaran pulih susulan peningkatan harga minyak mentah serta unjuran ekonomi yang lebih baik oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," kata peniaga kepada Bernama.

Dalam perkembangan terkini ke atas Unjuran Ekonomi Global, IMF berkata ekonomi global dijangka mengalami pertumbuhan 5.5 peratus pada tahun ini dan 4.2 peratus pada tahun depan.

Unjuran 2021 itu disemak semula dengan lebih tinggi kepada 0.3 mata peratusan, mencerminkan harapan terhadap aktiviti pengukuhan vaksin pada akhir tahun dan sokongan dasar tambahan di beberapa negara besar.

Penguncupan pelaburan global bagi 2020 diunjurkan pada -3.5 peratus, 0.9 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran awal.

Sementara itu, harga minyak mentah melonjak susulan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan serta jangkaan permintaan yang lebih baik dari China berikutan peningkatan kes harian COVID-19 yang terendah di negara itu.

Setakat ini, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.55 peratus kepada AS$56.22 setong.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0491/0520 daripada 3.0477/0511 pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.5536/5594 daripada 5.5270/5327, namun menokok berbanding euro kepada 4.9021/9131 daripada 4.9078/9131 semalam.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8956/8996 daripada 3.8988/8025 sebelum ini.

Pasaran tempatan akan ditutup esok bersempena cuti Thaipusam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini