Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS




KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini selepas mata wang dolar menyusut berikutan permintaan untuk aset berisiko semakin baik, didorong oleh perkembangan terkini pelancaran vaksin bagi membendung penularan COVID-19, kata para peniaga.

Pada pukul 9.00 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0360/0420 berbanding dolar AS daripada 4.0380/0430 ketika ditutup petang Jumaat minggu lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata ringgit bagaimanapun dijangka diniagakan dalam julat kecil, didorong oleh harga minyak mentah yang stabil yang didagangkan melebihi paras US$60 setong. Bagaimanapun, kenaikan itu mungkin terkekang oleh peningkatan hasil AS.

Sementara itu, Hong Leong dalam nota penyelidikannya memberikan saranan "neutral" ke atas dolar AS berbanding ringgit (US/RM) untuk minggu mendatang dengan unjuran julat 4.03-4.06.

"Dolar AS boleh terus mengukuh sekiranya penjualan Perbendaharaan AS disambung semula. Oleh itu, pasaran kini mula menilai kembali kesulitan yang bakal timbul bagi pelan rangsangan Presiden AS Joe Biden bernilai US$1.9 trilion untuk diluluskan di Kongres," katanya.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain pada Isnin.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0502/0559 daripada 3.0489/0534 pada Jumaat dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.6649/6738 daripada 5.6488/6566.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.8932/9021 daripada 4.8993/9062 dan meningkat berbanding yen kepada 3.8263/8324 daripada 3.8315/8366 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini