Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kekurangan pemangkin positif bagi unit tempatan itu, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.0400/0450 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0380/0430 pada Jumaat minggu lalu.

Penganalisis itu berkata meskipun kekukuhan harga minyak, eksport dan harga komoditi, pelabur juga menilai prestasi Malaysia dalam pasaran pekerjaan, yang mana masih ketinggalan berbanding negara-negara setara dengannya.

Menurut Jabatan Perangkaan baru-baru ini, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi yang direkodkan sejak 1993 iaitu pada 4.1 peratus.

"Kurangnya keyakinan terhadap ringgit itu juga kemungkinan berpunca daripada penurunan tinjauan oleh Fitch Solutions terhadap Malaysia baru-baru ini, apabila ia menyemak semula pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara bagi 2021 kepada 4.9 peratus daripada 10 peratus sebelumnya.

"Langkah sekatan pergerakan di negara ini juga dijangka menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kelewatan pemulihan sektor berkaitan pelancongan meskipun dengan pelancaran program vaksin COVID-19 yang akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0572 daripada 3.0489/0534 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding pound Britaian kepada 5.6613/6691 daripada 5.6488/6566.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding euro kepada 4.8912/8981 daripada 4.8993/9062 dan naik berbanding yen kepada 3.8229/8290 daripada 3.8315/8366 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini