Sentimen lemah, ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen lemah, ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan mencatat prestasi lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen lemah serta susulan pengukuhan unit negara maju terbabit, kata penganalisis.

Pada 6 petang Jumaat, ringgit susut kepada 4.0450/0443 berbanding dolar AS daripada 4.0380/0410 sewaktu urus niaga ditutup pada Khamis.

Seorang penganalisis berkata, laporan prestasi kewangan PETRONAS yang diumumkan pada Jumaat dengan syarikat minyak dan gas negara itu mencatat kerugian selepas cukai RM21.0 bilion bagi tahun kewangan 2020, terbukti menjejaskan sentimen terhadap ringgit.

"Kerugian RM21.0 bilion yang juga terbesar untuk PETRONAS setakat ini adalah sesuatu yang memberi kesan terhadap syarikat utama itu," katanya kepada Bernama.

Pada 2019, PETRONAS mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM40.5 bilion.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley berkata perkembangan tidak menentu membabitkan bon global di pasaran kewangan sebaliknya memacu hasil bon kerajaan, terutama di AS.

"Ini mendorong pengukuhan dolar AS dan menjejaskan kedudukan mata wang pasaran sedang pesat membangun.

"Berikutan itu, ringgit bergerak dalam jajaran penyusutan sekitar 0.3 peratus ketika urus niaga pada paras antara RM4.0510-RM4.0450 berbanding dolar AS," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakkannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0443/0490 daripada 3.0663/0697 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.6395/6473 daripada 5.7231/7289 sebelum ini serta meningkat berbanding euro kepada 4.9054/9127 daripada 4.9340/9385 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.7985/8035 daripada 3.8076/8108 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini