Harga minyak mentah Brent hampir paras AS$70 setong - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah Brent hampir paras AS$70 setong



KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah meneruskan peningkatannya apabila mencatatkan tahap tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun setelah pakatan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) membuat keputusan meneruskan pengurangan bekalan ketika ekonomi global mulai pulih dari kemerosotan yang disebabkan oleh COVID-19.

West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) berada pada AS$66 setong pada Jumaat, sementara penanda aras minyak mentah global, Brent semakin menghampiri paras AS$70 setong.
Pengurangan bekalan dari OPEC+ dan permulaan program vaksinasi COVID-19 membantu pemulihan semula minyak mentah daripada kejatuhan harga sebelum ini.

Keputusan mengejutkan OPEC + pada Khamis itu bagi memastikan pengeluaran tetap stabil pada April serta meningkatkan harga dan menyebabkan kekuatan dalam struktur pasaran.

Bank utama menaikkan ramalan harga, dengan beberapa unjuran harga minyak mencapai AS$100 setong tahun hadapan.
"Dalam beberapa cara, yang lebih penting daripada pengurangan bekalan minyak adalah mesej yang disertakan dengannya.

"Mereka tidak terlalu bimbang tentang harga, tidak bimbang mengenai pengetatan," kata Ketua Penyelidikan Komoditi di Standard Chartered Plc, Paul Horsnell.

Paul berkata, ruang ketika ini terbuka untuk harga melonjak melebihi AS$70.

Minyak mentah katanya naik lebih daripada 30 peratus ketika ini pada 2021 dengan pengekangan pengeluaran OPEC + yang menahan pasaran sehingga kemunculan semula penggunaan sepenuhnya.
Keputusan terbaru kumpulan itu katanya mewakili kemenangan bagi Arab Saudi, yang mencadangkan pengurangan untuk mengekalkan harga.

JPMorgan meningkatkan unjuran Brent sebanyak AS$2 hingga AS$3 setong dan Australia & New Zealand Banking Group Ltd pula meningkatkan sasaran dalam tempoh tiga bulan kepada AS$70.
Citigroup Inc mengatakan minyak mentah boleh meningkat kepada AS$70 sebelum akhir bulan ini.

Minyak yang meningkat ke tahap ini kemungkinan akan meningkatkan tekanan dalam OPEC + kerana beberapa anggota ingin menambah lebih banyak untuk melegakan tekanan ekonomi ketika ini.
Pengimport utama seperti China dan India juga tidak akan selesa dengan keputusan OPEC+ dan kedua negara itu mungkin akan menukar keputusan pada pertemuan berikutnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini