Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini.
Peniaga berkata, dolar AS terus mengukuh berikutan peningkatan kadar perolehan Perbendaharaan AS terus menguji sentimen risiko aset bersilang dengan Kongres AS bercadang menghantar rang undang-undang pelan rangsangan bernilai AS$1.9 trilion kepada Presiden Joe Biden untuk ditandatangani.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0750/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0720/0760 ketika ditutup pada petang Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata laporan pengangguran AS mendedahkan pemulihan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk bulan Februari serta jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS untuk tahun ini akan meningkat.
Ini juga antara sebab yang menjuruskan kepada kelemahan ringgit, katanya.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa harga minyak melonjak lebih tinggi pagi ini selepas pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran melancarkan serangan ke atas loji minyak dan pangkalan tentera Arab Saudi.

"Dengan OPEC meneruskan dasar yang ketat ke atas pengeluaran minyak serta tindak balas penawaran minyak shal AS yang tidak berubah terhadap harga yang tinggi, sebarang gangguan ke atas rantaian bekalan Asia Barat boleh melonjakkan harga, sekali gus dapat menyokong mata wang tempatan," kata beliau.
Minyak mentah Brent mengukuh 2.02 peratus kepada AS$70.76 satu tong.

Sementara itu, ringgit bergerak rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0379/0412 daripada 3.0359/0395 pada Jumaat dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.7599/7630 daripada 3.7544/7584.

Ringgit lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.6455/6513 daripada 5.6267/6338 dan merosot berbanding euro kepada 4.8598/8651 daripada 4.8563/8627.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini