Penurunan harga minyak menjejaskan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan harga minyak menjejaskan ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada petang urus niaga Khamis, terjejas oleh harga minyak yang lemah meskipun Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit menyusut untuk diniagakan pada 4.0550/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0490/0530 ketika ditutup pada petang Rabu.

Ketua Strategi Pemasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata mata wang tempatan telah menunjukkan pergerakan yang baik semalam selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan di kebanyakan negeri.
Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent turun 0.28 peratus kepada AS$63.89 setong.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley berkata keputusan bank pusat mengekalkan kadar OPR telah dijangkakan terutama dalam situasi pandemik COVID-19 pada masa ini.

"Ini adalah tindakan yang bijak memandangkan kekuatan dolar AS yang digerakkan oleh bon akan menjejaskan ringgit. Penurunan kes COVID-19 akan memberikan BNM keyakinan untuk mengekalkan dasar monetari pada kadar semasa," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0416/0460 daripada 3.0446/0487 pada Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6470/6556 daripada 5.6605/6673 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8786/8854 daripada 4.8993/9058 semalam.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7774/7827 daripada 3.7877/7921 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini