Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sentimen lemah di tengah-tengah pengukuhan mata wang AS itu, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun sebanyak 330 mata asas kepada 4.1050/1100 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0720/0760 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Ahli Strategi Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit sekali lagi lemah berikutan beberapa faktor tetapi terutamanya berkaitan dengan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang sangat mempengaruhi dolar AS.

"Pelabur kini memikirkan ekonomi AS kemungkinan akan mengatasi pertumbuhan Asia pada 2021 dan ia boleh mencetuskan putaran aset keluar dari Asia memasuki pasaran AS, yang juga menjejaskan sentimen mata wang tempatan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0434/0478 daripada 3.0359/0395 pada Jumaat minggu lalu dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.7810/7859 daripada 3.7544/7584.

Ringgit berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6772/6850 daripada 5.6267/6338 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8730/8802 daripada 4.8563/8627. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini