Ringgit merosot semula - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot semula



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot daripada peningkatan semalam untuk ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini berikutan pelabur berhati-hati terhadap hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang bermula hari ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan rendah kepada 4.1120/1160 berbanding unit negara maju daripada 4.1110/1160 sewaktu ditutup pada Isnin.

Penganalisis berkata, di sebalik mesyuarat FOMC selama dua hari itu, pelabur turut memantau rapat mesyuarat bank pusat utama lain pada minggu ini termasuk Bank of England yang akan mengadakan pertemuan pada Khamis dan Bank of Japan yang akan memulakan mesyuarat dasar selama dua hari pada hari yang sama.

Seorang lagi penganalisis berkata, mata wang tempatan masih menerima sokongan daripada langkah pertukaran kadar Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkuatkuasa Isnin, yang membolehkan pelabur mendapat portfolio bon lindung nilai yang lebih baik.

Beliau berkata, membenarkan akses bank dalam negara terhadap pasaran derivatif itu akan meningkatkan mudah tunai yang diperlukan di pasaran pertukaran kadar faedah Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, langkah BNM itu akan turut menangani sebahagian kebimbangan lindung nilai pelabur asing memandangkan FTSE Rusell akan menerbitkan kajian pendapatan tetap dua kali setahun pada 29 Mac dan Malaysia kekal berada dalam senarai pemantauan untuk kemungkinan dikecualikan daripada indeks bon.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0543/0579 daripada 3.0558/0602 pada Isnin, dan naik berbanding yen kepada 3.7652/7699 daripada 3.7678/7727.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.6857/6928 daripada 5.7274/7361 namun susut berbanding euro kepada 4.9044/9108 daripada 4.9028/9106 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini