Ringgit terus merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot




KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut hari ini berikutan sentimen berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan global yang mengekang minat risiko di pasaran, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1290/1320 berbanding dolar AS daripada 4.1200/1250 semalam.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata sentimen di pasaran agak lemah terutamanya disebabkan faktor luaran.

"Ringgit merosot berikutan jangkaan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan ketika perintah berkurung terkini di Eropah serta potensi kenaikan cukai di AS yang mengekang minat risiko dan meningkatkan kebimbangan terhadap penawaran berlebihan," katanya.

Adam berkata, perkembangan terkini mengenai sekatan yang dikenakan oleh Kanada, AS, United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China berikutan pembabitan pegawai kanannya dalam penahanan besar-besaran umat Islam Uighur di wilayah Xinjiang akan dipantau rapat oleh penggiat pasaran.
Perkembangan mengenai perkara terbabit akan mempengaruhi pergerakan ringgit, sekali gus memberi petunjuk kepada mata wang tempatan.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0690/0719 daripada 3.0673/0717 pada Selasa dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8006/8037 daripada 3.7909/7966.

Bagaimanapun, unit tempatan menokok berbanding pound Britain kepada 5.6687/6741 daripada 5.6749/6834 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8858/8910 daripada 4.8983/8059.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini