Dagangan ringgit berakhir lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lemah




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan yang lengang hari ini apabila pemain pasaran mengalihkan tumpuan mereka kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) lewat hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1360/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1280 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga berkata, kenyataan minit mesyuarat FOMC yang dikeluarkan pada April mungkin termasuk beberapa petunjuk mengenai dasar monetari pada bulan-bulan akan datang.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit serta mata wang pengeluar petroleum lain turut merosot seiring dengan penurunan harga minyak.

"Harga minyak terus berada di bawah tekanan terhadap kemungkinan perjanjian nuklear AS-Iran yang akan menyaksikan lebih banyak tong minyak mentah kembali ke dalam pasaran," katanya.
Penanda aras minyak mentah Brent turun 1.88 peratus lebih rendah untuk diniagakan pada AS$67.42 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura pada 3.1039/1086 daripada 3.1010/1038 pada Selasa, dan merosot berbanding yen kepada 3.7882/7929 daripada 3.7868/7903.

Mata wang tempatan jatuh sedikit berbanding pound Britain kepada 5.8586/8651 daripada 5.8583/8646 dan turun berbanding euro pada 5.0496/0562 berbanding 5.0391/0444 ketika ditutup pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini