Sentimen berhati-hati pelabur jejaskan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen berhati-hati pelabur jejaskan ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut 110 mata asas berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana sentimen berhati-hati berlaku selepas pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2021 Malaysia awal hari ini.

Ia turut didorong pertambahan kes COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan kali ketiga (PKP 3.0) di seluruh negara.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1160/1210 berbanding dolar AS pada 4.1050/1100 ketika ditutup petang semalam.
Malaysia mencatatkan penguncupan dalam KDNK sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021, mempamerkan tanda pemulihan daripada penguncupan 3.4 peratus suku sebelumnya dengan peningkatan dilihat dalam semua sektor ekonomi.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata sekatan pergerakan terkini terus mengaburkan prospek ekonomi negara bagi separuh kedua tahun 2021, walaupun KDNK lebih baik daripada jangkaan penganalisis.
"Peningkatan dalam kes komuniti COVID-19 yang mencetuskan pelaksanaan PKP terbaharu akan melambatkan pemulihan.

"Justeru, peniaga perlu diyakinkan bahawa keluk pandemik boleh merata sebelum pembelian ke atas unit tempatan kembali rancak," katanya kepada Bernama.
Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia mencatatkan 3,973 kes COVID-19 baharu dan 22 kematian dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari ini.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan pertumbuhan KDNK Malaysia kemungkinan kekal berada dalam julat 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021 walaupun dengan pelaksanaan PKP 3.0.

Ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh ketidaktentuan yang ketara memandangkan keadaan berkaitan dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu.

Ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama tahun 2021, disebabkan terutama oleh dolar AS yang semakin kukuh dan ini turut mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun secara umumnya menjadi semakin lemah.

Sementara itu, unit tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain hari ini.
Berbanding dolar Singapura, ringgit jatuh kepada 3.1027/1085 daripada penutupan urus niaga Isnin 3.0979/1033 dan turun berbanding euro kepada 5.0071/0140 daripada 4.9925/0998 sebelumnya.

Ia turut menyusut berbanding pound Britain kepada 5.8171/8259 daripada 5.7839/7922 dan lega berbanding yen kepada 3.7814/7863 daripada 3.7740/7797 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini