Dagangan ringgit berakhir lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lebih kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana sentimen bertambah baik berikutan Malaysia melepasi 200,000 dos suntikan vaksin COVID-19 kepada rakyatnya pada 15 Jun.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.1155/1180 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1185 semasa penutupan pada Selasa.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sejumlah 215,876 dos vaksin COVID-19 diagihkan semalam, melebihi 200,000 sasaran harian ditetapkan oleh kerajaan di bawah Program Imunisasi COVID-​19 Kebangsaan (PICK).

Seramai 1,468,689 individu telah menerima dua dos vaksin dan 3,435,420 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah dos yang diberikan di Malaysia setakat ini kepada 4,904,109 individu.
"Kerajaan telah meningkatkan jumlah vaksinasi setiap hari dan Pelan Pemulihan Negara untuk keluar dari pandemik COVID-​19 telah melonjakkan ringgit lebih tinggi hari ini.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi pandemik dan bagaimana Malaysia secara perlahan-lahan akan keluar dari pandemik tersebut dan menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu," kata seorang penganalis kepada Bernama.

Bagaimanapun, di sebalik berita positif itu, pasaran masih menunggu hasil daripada mesyuarat khas Raja-Raja Melayu dan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) yang akan diumumkan hari ini.

Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu itu dijangka membincangkan perkara berkaitan dengan usaha kerajaan memerangi COVID-19 dan pelaksanaannya dalam tempoh darurat ketika ini.

Sementara itu, Rizab Persekutuan AS akan mengumumkan keputusannya mengenai kadar faedah selepas mesyuarat selama dua hari itu berakhir, hari ini.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.8090/8126 daripada 5.7933/7968 ketika ditutup pada Selasa dan hampir tidak berubah berbanding euro pada 4.9896/9927 daripada 4.9898/9929 semalam.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1032/1053 daripada 3.1024/1046 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7431/7453 daripada 3.7364/7390.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini