Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar US sewaktu dibuka hari ini berikutan dolar AS meningkat selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi bayangan untuk menaikkan kadar faedah pada 2023.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu merosot kepada 4.1360/1385 berbanding dolar AS dengan penurunan 0.5 peratus atau 205 mata asas (bps) daripada 4.1155/1180 pada penutupan Rabu.

Menggambarkan isyarat kenaikan Fed sebagai suatu kejutan, peniaga berkata laporan itu telah menyebabkan aliran keluar modal daripada pasaran pesat membangun termasuk Malaysia, justeru menjadikan mata wang mereka merosot berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan keputusan Fed untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa 0.25 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang berakhir hari ini, sebagai langkah yang memang dijangkakan.

Meskipun ringgit terjejas dengan berita kenaikan kadar faedah AS, peniaga berkata penurunan itu telah dikekang oleh keputusan Raja-Raja Melayu bahawa tidak ada keperluan untuk untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur di negara ini

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata Raja-Raja Melayu yang menghadiri perjumpaan di Istana Negara pada Rabu menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen segera bersidang.

Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
Sewaktu dibuka, ringgit mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.7801/7836 daripada 5.8090/8126 sewaktu ditutup pada Rabu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9582/9612 daripada 4.9896/9927 semalam.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0953/0974 daripada 3.1032/1053 dan meningkat berbanding yen kepada 3.7342/7368 daripada 3.7431/7453.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini