Harga minyak dijangka cecah AS$100 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dijangka cecah AS$100

 


KUALA LUMPUR: Harga minyak mampu mencecah sehingga AS$100 setong sekiranya tiada pelaburan baharu dilakukan dalam sektor gas dan minyak.

Menurut AmInvest, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporannya Mei lalu mencadangkan tiada pelaburan baharu perlu dilakukan dalam sektor itu jika mahu mencapai sasaran pelepasan karbon sifar-bersih (net-zero) menjelang 2050.

Ia selepas pakar alam sekitar, pemegang saham aktivis dan mahkamah Eropah telah meningkatkan tekanan pada syarikat minyak multinasional yang besar supaya menyelaraskan perniagaan mereka dengan senario sifar-bersih itu memandangkan beberapa syarikat besar antarabangsa ini mengakui peranan mereka dalam peralihan tenaga.

Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol awal bulan ini berkata, melainkan OPEC+ meningkatkan pengeluaran sebagai tambahan kepada pelan sedia ada untuk memulihkan pengeluaran dua juta tong sehari (bpd) menjelang Julai, harga minyak akan naik lebih tinggi kerana jurang tawaran-permintaan akan melebar memandangkan permintaan terhadap minyak pulih lebih pantas daripada jangkaan sebelum ini.

"Menurut Birol, permintaan minyak global dapat kembali ke tahap sebelum krisis 2019 dalam tempoh setahun susulan permintaan yang kukuh di Amerika Syarikat, Eropah dan China.

"Jika tiada pelaburan gas dan minyak selanjutnya Rystad Energy mengunjurkan yang gas asli di Asia Tenggara secara semulajadinya akan menurun sebanyak 60 peratus hingga 7.5 bilion kaki padu/sehari menjelang tahun 2030 dari 19 bilion kaki padu/sehari pada tahun 2020 sementara minyak akan turun lebih tinggi iaitu 67 peratus hingga 600,000 bpd dari 1.8 juta bpd.

"Walaupun perbelanjaan modal telah dilaksanakan pada empat tahun terakhir ini, pengeluaran minyak Asia Tenggara telah menurun dengan ketara, iaitu turun 36 peratus kepada 1.8 juta bpd pada tahun 2020 dari pengeluaran kemuncaknya 2.8 juta bpd pada tahun 2000.

"Ia dijangka untuk menurun lebih jauh kepada 1.6 juta bpd pada 2025 dan 1.4 juta bpd pada 2030," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Tambah firma penyelidikan itu, berdasarkan senario permintaan kes yang berpremiskan pada projek yang dianggap mungkin akan dipersetujui, Rystad Energy menjangkakan kekurangan bekalan minyak global sebanyak 22 juta bpd (22 peratus) menjelang 2030 dan 28 juta bpd (35 peratus) menjelang 2040.

"Hampir separuh daripada pengeluaran minyak global sebanyak 80 juta bpd pada tahun 2030 diunjurkan datang daripada telaga pengeluaran bukan syal, kerana pengeluaran konvensional secara semulajadi menurun sebanyak 54 peratus dalam 10 tahun akan datang.

"Oleh itu, pelaburan global yang besar masih diperlukan dalam 10-20 tahun akan datang untuk mengatasi defisit penawaran yang diunjurkan.

"Sekiranya tiada pelaburan ini, kami menjangkakan satu lagi kitaran kenaikan harga yang tinggi, serupa dengan kenaikan pada 2004-2007, yang akan mendorong harga minyak mentah ke tahap yang jauh melebihi AS$100 / setong," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini