Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana peserta pasaran mengikuti perkembangan terbaharu di AS yang menyebabkan dolar AS turun naik.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan pulih kembali kepada 4.1560/1575 berbanding dolar AS daripada 4.1580/1610 pada penutupan semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unit tempatan itu mengambil petunjuk daripada perkembangan di AS dalam persekitaran dolar AS yang lemah.
"Tumpuan adalah kepada Rizab Persekutuan AS (Fed AS) minggu ini dengan beberapa kenyataan oleh pegawai Fed AS kepada media.

"Nampaknya ada pelbagai andaian dengan beberapa pihak yang setuju bahawa akomodasi dasar monetari harus ditarik balik dengan segera tetapi Pengerusi Fed AS, Jerome Powell berkata kenaikan inflasi dijangka hanya sementara," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound kepada 5.7781/7802 daripada 5.8050/8092 ketika ditutup pada Khamis dan melonjak berbanding euro kepada 4.9627/9645 daripada 4.9655/9691 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0964/0980 daripada 3.0949/0974 semalam dan jatuh berbanding yen kepada 3.7526/7540 daripada 3.7507/7534 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini