Ringgit teruskan pengukuhan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit teruskan pengukuhan




KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan semalam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan kehendak risiko yang semakin baik, kata peniaga.

Pada jam 9.16 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1550/1575 berbanding dolar AS dari 4.1580/ 1610 pada penutupan Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata laporan mengenai rancangan perbelanjaan infrastruktur Presiden AS, Joe Biden bernilai AS$579 bilion dijangka menjadi tumpuan hari ini.

"Perkembangan terbaharu ini nampaknya menghidupkan kembali pandangan bahawa pemulihan AS sedang bertahan yang menjuruskan kepada mod risiko langsung, yang menyebabkan modus risiko menjadi tersebar luas seperti dilihat daripada kenaikan harga ekuiti malam tadi.

"Di samping harga minyak mentah Brent yang melambung kepada sekitar AS$75 setong, ringgit mampu disokong dengan baik berbanding dolar AS hari ini," katanya kepada Bernama

Sementara itu, Hong Leong Bank Research menyatakan dolar AS secara keseluruhan tidak berubah pada hari Khamis, dengan Indeks Dolar AS (DXY) ditutup pada 91.81.

"Dalam pada dolar AS kembali ke paras 4.16 selepas terlebih beli semalam dan mungkin bergerak lebih neutral hari ini berbanding ringgit. Mungkin dalam julat yang ketat antara 4.1550 hingga 4.1650 menjelang cuti hujung minggu dan kekurangan penggerak pasaran," katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain kecuali dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7842/7877 daripada 5.8050/8092 pada penutupan Khamis, lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7456/7482 daripada 3.7507/7534 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9594/9624 daripada 4.9655/9691.

Sebaliknya, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0954/0975 daripada 3.0949/0974 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini