Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS




KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di negara maju itu yang terus memacu pengukuhan dolar, kata peniaga.

Pada 9.03 pagi ini, ringgit susut kepada 4.1540/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1510/1530 yang dicatatkan pada akhir dagangan Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pengukuhan dolar AS berbanding ringgit itu ketara selepas pengumuman Data Keyakinan Pengguna di AS yang menunjukkan angka lebih tinggi daripada jangkaan awal.

"Oleh kerana ini merupakan petunjuk utama yang mengukur tahap keyakinan berdasarkan perbelanjaan keluarga dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, pasaran sebaliknya memberi reaksi pantas yang turut meningkatkan lagi dolar AS," katanya.

Tinjauan tersebut juga menggambarkan momentum ekonomi yang kukuh pada akhir suku kedua apabila selera pengguna didapati lebih positif terhadap barangan pengeluaran yang lebih tahan lama.

Selain itu pada awal dagangan pagi ini, ringgit rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7541/7610 daripada 5.7516/7544 pada Selasa dan rendah berbanding euro kepada 4.9437/9496 daripada 4.9434/9458, sebelum ini.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0887/0927 daripada 3.0883/0900 sebelum ini dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7583/7628 daripada 3.7538/7560, sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini