KUALA LUMPUR: Ringgit tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan Isnin, dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang bercampur-campur berikutan peningkatan harga minyak selain menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS pada minggu ini.
Pada 6 petang, ringgit kekal di paras 4.1130/1150 berbanding dolar AS yang dicatat ketika pasaran ditutup pada Jumaat lalu.
Seorang penganalisis berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan, ringgit masih kekal bertahan selepas harga minyak mencecah hampir paras tertinggi pada Isnin, dipacu oleh peningkatan unjuran permintaan selepas usaha vaksinasi COVID-19 ternyata membantu dari segi pemulihan perjalanan atau pergerakan.
Malah, laporan media menunjukkan pergerakan kenderaan di Amerika Utara dan Eropah semakin kembali kepada keadaan sebelum pandemik dan lebih banyak penerbangan telah dibenarkan menyambung operasi susulan kelonggaran sekatan yang dilaksanakan sebelumnya.
Setakat petang ini waktu Malaysia, dagangan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global menokok 0.89 peratus kepada AS$73.33 setong.
Bagaimanapun, penganalisis itu berkata peningkatan ringgit sebaliknya turut dikekang oleh pemulihan dolar AS.
Selain itu, terdapat pelabur yang masih bimbangkan mengenai keadaan pemulihan ekonomi serta dasar monetari di AS dan berharap mesyuarat Fed pada Selasa dan Rabu ini dapat memberi lebih banyak petunjuk baharu.
Dalam pada itu, pasaran di Taiwan, China, Hong Kong dan Australia yang ditutup juga memberi ruang bagi peningkatan dolar AS.
Selain itu, ringgit juga mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh kepada 3.0997/1014 berbanding dolar Singapura daripada 3.1034/1059 pada Jumaat lalu dan meningkat kepada 3.7500/7522 berbanding yen daripada 3.7500/7531 sebelum ini.
Ia juga meningkat berbanding euro kepada 4.9817/9841 daripada 4.9908/9945 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7952/7980 daripada 5.8094/8140, sebelum ini.