Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS




KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa, disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan naik kepada 4.1120/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1130/1150 semasa ditutup pada Isnin.

Pada masa ini, penanda aras minyak antarabangsa minyak mentah Brent naik 0.48 peratus kepada AS$73.21 setong.

Bagaimanapun, kenaikan ringgit dihadkan oleh kebimbangan pasaran menjelang mesyuarat dasar monetari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS selama dua hari bermula hari ini.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata mesyuarat dan laporan FOMC akan menjadi perkara paling penting untuk sementara waktu, berikutan ia dapat memberikan gambaran mengenai langkah-langkah dasar monetari seterusnya yang dijangka akan diambil oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Fed akan turut mengumumkan keputusannya mengenai kadar faedah pada Rabu, tetapi dijangka tiada sebarang perubahan akan berlaku pada masa ini.

"Malah, antara pilihan yang ada untuk Fed ialah mengawal inflasi, mengubah kadar faedah dijangka menjadi pilihan terakhir," katanya.

Dari aspek teknikal, Diniz berkata dolar AS dijangka terus merosot sehingga ia mencapai paras 4.0950 berbanding unit tempatan.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.8024/8067 daripada 5.7952/7980 semasa ditutup pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.9837/9874 daripada 4.9817/9841 semalam.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1019 daripada 3.0997/1014 dan meningkat berbanding yen kepada 3.7358/7385 daripada 3.7500/7522 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini