Dagangan ringgit berakhir lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lemah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di hadapan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) dalam minggu ini, ditambah dengan kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 di Malaysia, kata seorang penganalisis .

Pada 6 petang, ringgit menyusut 45 mata asas kepada 4.2300/2320 berbanding dolar AS daripada 4.2255/2275 yang direkodkan semasa Jumaat lalu.

Menurut Kenanga Research, ringgit mula melemah selepas pasaran mengambil kira langkah penjimatan Rizab Persekutuan AS bagi mengurangi pembelian bonnya.

"Melihat melampaui kekuatan dolar AS jangka pendek yang disebabkan oleh COVID-19 dan krisis kesihatan Malaysia yang semakin serius, ringgit diramal akan disokong oleh angka perdagangan yang lebih baik daripada kemungkinan pelonggaran sekatan COVID-19 selepas program vaksinasi berjaya sepenuhnya," katanya dalam satu nota hari ini.

Kes COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia menurun kepada 14,516 pada hari Isnin, selepas mencatatkan rekod tertinggi 17,045 kes semalam, menjadikan jumlah kes terkumpul kepada 1,027,954.

Bagaimanapun, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed menjelaskan penurunan kes harian belum cukup untuk memacu nilai positif di pasaran dan pandemik terus mengaburkan sentimen.

"Selain itu, penurunan harga minyak mentah Brent juga menghalang mata wang tempatan daripada mengukuh memandangkan peningkatan kes COVID-19 global telah merencatkan prospek permintaan minyak," katanya kepada Bernama.

Hari ini, penanda aras minyak mentah Brent jatuh 0.28 peratus kepada AS$73.89 setong.

Sementara itu, pada penutup, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.9901/9925 daripada 4.9781/9834 yang dicatatkan semasa Jumaat lalu, melemah berbanding yen Jepun kepada 3.8350/8372 daripada 3.8254/8275, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1108/1127 daripada 3.1070/1089 dan lebih rendah berbanding pound British kepada 5.8349/8376 daripada 5.8054/8082 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini