Urus niaga ringgit dibuka kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Urus niaga ringgit dibuka kukuh




KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika data ekonomi AS yang lemah terus memberi tekanan terhadap unit negara maju tersebut, kata peniaga.

Pada 9.04 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2260/2285 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2320 yang dicatatkan pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data jualan rumah AS yang diumumkan ternyata lebih rendah daripada dijangkakan, faktor negatif ke atas dolar AS ketika prestasi pasaran terbukti mendatar atau tidak banyak berubah.
"Ini memberi impak terhadap pergerakan harga harian yang mengekang dolar AS daripada terus mencatat pengukuhan berbanding ringgit.
"Pada Selasa, perhatian lebih tertumpu ke atas data Indeks Keyakinan Pengguna AS yang akan memaparkan reaksi pengguna negara maju itu terhadap senario inflasi ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu di peringkat tempatan, Dewan Rakyat pada Isnin turut dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan pelanjutan darurat yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa tempoh pelaksanaan Proklamasi Darurat.
Dalam pada itu, sewaktu urus niaga dibuka, ringgit kebanyakannya mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.9896/9926 daripada 4.9901/9925 pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 3.8335/8357 daripada 3.8350/8372 sebelum ini.
Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.8420/8455 daripada 5.8349/8376 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1122/1142 daripada 3.1108/1127 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini