Mata wang tempatan terus susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Mata wang tempatan terus susut



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari keempat berturut-turut kerana sentimen dipengaruhi oleh pengukuhan mata wang AS dalam persekitaran kekurangan pemangkin domestik untuk menaikkan unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.2020/2030 berbanding dolar AS daripada 4.2000/2030 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga berkata, sentimen tempatan juga dipengaruhi oleh laporan Kementerian Kesihatan bahawa kes harian COVID-19 di Malaysia berjumlah 13,215 kes hari ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 880,782.

"Jumlah kes COVID-19 tempatan kerap menjadi kebimbangan kerana ia akan membataskan banyak prospek pertumbuhan dan memperlahankan pemulihan ekonomi. Kemerosotan ringgit juga seiring dengan harga minyak yang lebih rendah yang terus menyaksikan pengurangan permintaan ketika kes COVID-19 melonjak di peringkat global," katanya.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent turun 0.92 peratus kepada AS$74.07 setong.

Unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1052/1062 daripada 3.0973/0998 ketika ditutup pada Rabu dan merosot berbanding euro kepada 4.9764/9776 daripada 4.9539/9574.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.8256/8265 daripada 3.8012/8043 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.8252/8266 daripada 5.8157/8199 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini