Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh pagi ini berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual berlangsung Khamis ini.

BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 1.75 peratus untuk menyokong ekonomi.

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1545/1580 berbanding dolar AS daripada 4.1600/1650 ketika ditutup pada Jumaat.

Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, jangkaan keputusan MPC itu seolah-oleh memberi isyarat bahawa ekonomi tidak memerlukan pelonggaran monetari seterusnya terutama ketika Amerika Syarikat diunjur menaikkan kadar faedahnya lebih awal daripada jangkaan.
"Dengan mengambil kira perkara ini, ringgit mungkin diniagakan dalam anggaran RM4.15 hingga RM4.16 hari ini," katanya.

Namun demikian, beliau menambah sentimen terhadap unit tempatan mungkin terus terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa bahagian di Selangor dan Kuala Lumpur.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan Negara memutuskan penguatkuasaan PKPD bermula 3 hingga 16 Julai di 34 kawasan di Selangor dan beberapa kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, pada pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7432/7480 daripada 5.7188/7256 pada penutupan Jumaat dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.9278/9301 daripada 4.9171/9230.

Ringgit juga lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7391/7409 daripada 3.7303/7351 Jumaat lepas dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0847/0864 daripada 3.0778/0818.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini