Ringgit dijangka kekal kukuh dalam jangka panjang - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka kekal kukuh dalam jangka panjang


KUALA LUMPUR: Prospek jangka panjang ringgit dijangka kukuh sekitar RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meskipun tinjauan jangka pendeknya terkesan oleh peningkatan pantas kes jangkitan COVID-19, demikian kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi/Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata dalam jangka panjang, mata wang tempatan itu akan meraih manfaat daripada kelemahan dolar AS.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih mengekalkan unjuran bagi ringgit berbanding dolar AS pada paras RM4.10 hingga RM4.15 sedolar bagi 2021 dan RM4.05 hingga RM4.10 sedolar untuk 2022.

"Dalam jangka masa panjang, kami terus percaya bahawa ringgit akan mendapat manfaat daripada kelemahan dolar AS dan boleh mencecah RM4.15, lebih kukuh berbanding titik pertengahan julat perdagangan jangka panjangnya (RM3.80-RM4.50).

"Mata wang tempatan akan mengukuh 0.2 peratus-0.5 peratus berbanding dolar AS dalam jangka masa panjang," katanya dalam nota penyelidikannya.

Dass berkata, ketidakpastian pandemik COVID-19, ditambah dengan pengurusan, kepantasan pelaksanaan vaksinasi, pembukaan semula ekonomi, pengukuhan permintaan luaran dan cabaran politik domestik akan mempengaruhi pergerakan mata wang tempatan menuju ke depan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan prospek jangka pendek untuk ringgit akan melemah sebahagiannya disebabkan kebimbangan terhadap kes COVID-19 dan pengurusan pandemik.

Katanya, penularan pandemik itu kini ditakrifkan sebagai 'gelombang ketiga' dengan langkah sekatan dan kawalan pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (EMCO) di negeri tertentu menimbulkan cabaran ketara kepada ekonomi dan politik.

Jelasnya, kesan daripada cabaran itu terhadap ekonomi dan tinjauan politik dalam jangka masa pendek juga dilihat telah melimpah ke dalam persekitaran sosial.

"Ia pastinya akan menjejaskan ringgit dalam beberapa bulan akan datang walaupun kerajaan melaksanakan (pakej rangsangan) RM150 bilion lagi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), menjadikan jumlah rangsangan RM530 bilion atau 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Risiko peningkatan dolar AS kekal ada dengan didorong oleh berita positif dari data ekonomi yang akan mempengaruhi nada Rizab Persekutuan AS mengenai penurunan dan potensi kenaikan kadarnya. Ringgit juga akan dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak mentah global iaitu Brent menuju ke depan," katanya.

Dass berkata, AmBank Research mengekalkan unjuran KDNK bagi 2021 kepada 4.0 peratus-4.5 peratus, dengan risiko penurunan kepada 3.0 peratus, mencerminkan pemulihan lemah berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020 berikutan penggunaan swasta dan tinjauan pelaburan yang lemah.

Mengenai tinjauan Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar pada 1.75 peratus.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kemungkinan kerajaan menaikkan had hutang daripada 60 peratus kepada setinggi 65 peratus bagi membiayai perbelanjaan.

"Dalam keadaan seperti itu, penurunan OPR sebanyak 25 mata asas hingga 1.5 peratus boleh berlaku," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini