Ringgit terus merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot



KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan sentimen kekal dipengaruhi oleh peningkatan kes COVID-19 selain penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut sebanyak 200 mata asas kepada 4.2240/2265 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2070 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley, berkata mata wang negara serantau termasuk ringgit kekal lemah di Asia pada Isnin memandangkan gelombang COVID-19 berterusan telah menjejaskan jangkaan pemulihan dan pertumbuhan.

Kes COVID-19 harian Malaysia masih berada di atas paras 10,000 apabila mencatatkan 10,972 kes baharu pada Isnin sekali gus menjadikan jumlah kes sebanyak 927,533.

Halley berkata, ringgit juga mengalami penurunan seterusnya susulan harga minyak mentah merosot pada Jumaat walaupun Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya telah mencapai persetujuan tentatif mengenai peningkatan kuota pengeluaran.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa susut 2.64 peratus kepada AS$71.65 satu tong.

"Ringgit akan memperoleh sokongan pada 4.2000. Saya menjangkakan ia terus mengalami penyusutan ke arah 4.2500 pada pertengahan minggu ini dan boleh mencecah 4.3000 menjelang akhir minggu khususnya jika pelabur terus membeli dolar AS secara amnya sebagai mata wang dagangan selamat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan mengumumkan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 selepas Aidiladha.

Beliau berkata, perkara itu sedang diteliti jawatankuasa teknikal bagi memastikan jenis kelonggaran yang akan dibenarkan kepada golongan itu.

"Kita juga sedang mengkaji sektor perniagaan mana yang boleh dilonggarkan. Perkara ini kita sedang teliti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, di sini pada Isnin.

Pada penutupan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1034/1057 daripada 3.1053/1078 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu serta naik berbanding pound Britain kepada 5.8038/8072 daripada 5.8129/8170.

Bagaimanapun unit tempatan rendah berbanding euro kepada 4.9750/9780 daripada 4.9687/9723 dan lemah berbanding yen kepada 3.8470/8493 daripada 3.8180/8207.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini