Ringgit ditutup rendah ke paras RM4.20 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah ke paras RM4.20



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu ditutup pada Rabu berikutan sentimen pelabur dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik di Malaysia dan situasi COVID-19 yang semakin buruk, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.2000/2030 berbanding unit negara maju itu daripada 4.1910/1930 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga berkata, ringgit merosot ke paras 4.20 buat pertama kali sejak Ogos 2020 berikutan dolar AS mengukuh selepas lonjakan inflasi AS telah menyokong jangkaan kenaikan kadar faedah AS yang lebih awal, berbanding apa yang dibayangkan pegawai Rizab Persekutuan AS setakat ini.

Dalam negara, Malaysia hari ini merekodkan lebih 11,000 kes baharu COVID-19 bagi hari kedua berturut-turut, dengan lebih separuh daripadanya adalah kes di Lembah Klang iaitu 5,051 di Selangor dan 1,749 di Kuala Lumpur.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0973/0998 daripada 3.0996/1016, naik berbanding euro kepada 4.9539/9574 daripada 4.9634/9658 dan menokok berbanding yen kepada 3.8012/8043 daripada 3.8017/8035 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound kepada 5.8157/8199 daripada 5.8070/8098 sewaktu ditutup pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini