Ringgit teruskan trend penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan trend penurunan



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan trend menurun minggu lalu untuk dibuka lemah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana kekurangan minat belian berterusan dengan pelabur masih bimbang terhadap lonjakan kes COVID-19, kata peniaga.

Pada jam 10 pagi, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2150/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2070 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Seorang peniaga mengaitkan kelemahan ringgit itu kepada kebimbangan akan prospek ekonomi Malaysia ekoran jumlah kes baharu COVID-19 semakin tinggi.

"Harga minyak turut menyeret turun prestasi ringgit dengan penanda aras minyak mentah Brent jatuh 2.6 peratus minggu lalu dan diniagakan pada AS$73.59 setong pada Jumaat," kata beliau.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.9750/9761 daripada 4.9687/9723 pada penutupan Jumaat dan lemah berbanding Yen Jepun kepada 3.8346/8359 daripada 3.8180/8207.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1027/1037 daripada 3.1053/1078 sebelumnya dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7977/7991 daripada 5.8129/8170.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini