Ringgit terus susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut




KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi kurang memberangsangkan apabila ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan kekurangan minat belian, kata peniaga.

Beliau berkata, selain itu sentimen pasaran kekal dipengaruhi oleh peningkatan kes COVID-19.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2040/2070 berbanding dolar AS daripada 4.2020/2030 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, dolar AS yang lebih kukuh telah mengekang minat risiko terhadap mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit, dalam keadaan pemangkin pasaran tempatan yang lemah.

"Walaupun kita melihat sedikit penurunan jumlah kes hari ini namun angkanya masih lima angka bagi empat hari berturut-turut, mengakibatkan kekurangan sokongan belian dan menjejaskan keyakinan pelabur," katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah kes COVID-19 baharu turun kepada 12,541 pada Jumaat daripada 13,215 kes pada Khamis, menjadikan kes keseluruhan di negara ini sebanyak 893,323.

"Bagaimanapun, kenaikan kecil harga minyak mentah telah membantu mengehadkan aliran penurunan ringgit," kata peniaga.

Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa meningkat 0.41 peratus kepada AS$73.77 setong.
Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9687/9723 daripada 4.9764/9776 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.8180/8207 daripada 3.8256/8265.
Unit tempatan juga meningkat berbanding pound kepada 5.8129/8170 daripada 5.8252/8266 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1078 daripada 3.1052/1062.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini