Situasi luar jangka COVID-19 jejaskan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Situasi luar jangka COVID-19 jejaskan ringgit




KUALA LUMPUR: Situasi luar jangkaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 menjejaskan asas pasaran ringgit terutama apabila pergerakan mata wang adalah sensitif terhadap aliran berita negatif, kata penganalisis.

Bagaimanapun, risiko aliran menurun ringgit dijangka diimbangi oleh pemulihan eksport susulan peningkatan semula permintaan global terhadap produk pembuatan, pertanian dan perlombongan, demikian menurut PublicInvest Research.

Ia berkata, keadaan tidak menentu dijangka berlarutan sehingga suku ketiga sebelum reda pada suku keempat tahun ini susulan negara di rantau ini akan mencapai imuniti kelompok.
"Namun, kejutan dasar oleh negara maju menjadi kebimbangan memandangkan ia akan menjejaskan kedudukan rizab tukaran asing kita.

"Rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China kedua juga menjadi satu lagi kebimbangan memandangkan penentuan negatifnya terhadap perdagangan dan mata wang serantau," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Rizab tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada suku kedua 2021 meningkat sebanyak AS$7.7 bilion kepada AS$111.1 bilion, yang mana ia sejajar dengan negara serantau lain.

Rizab tukaran asing dalam terma ringgit meningkat sebanyak RM18.5 bilion kepada RM461.5 bilion, tertinggi dalam beberapa tahun berikutan lebihan perdagangan kukuh dan prestasi pasaran modal yang kukuh.

Rizab tukaran asing pada akhir suku kedua 2021 mencukupi untuk membiayai 8.2 bulan import dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek.

PublicInvest Research berkata, kedudukan rizab tukaran asing Malaysia berdaya tahan memandangkan ia berada di atas standard kecukupan antarabangsa, dengan penanda semasa mungkin dapat menahan kejutan dan kesan penularan.

Ia berkata, kedudukannya yang stabil juga dapat menyokong ekonomi makro dan kestabilan sistem kewangan terutama ketika dalam keadaan yang luar biasa.

Namun, katanya, prospek mengetatkan kadar faedah di ekonomi maju boleh menjejaskan kedudukan kerana kesan aliran keluar modal dapat mempengaruhi asas pasaran, terutama mata wang.

Pada suku kedua 2021, ringgit diniagakan pada purata RM4.149 berbanding satu dolar AS, meningkat 3.31 peratus, sejajar dengan aliran serantau meskipun peningkatan mendadak dicatatkan baht (+7.3 peratus), dolar Singapura (+3.6 peratus) dan peso (+2.0 peratus).

Manakala, mata wang Indonesia menyusut 1.6 peratus.

PublicInvest Research berkata, peningkatan dalam mata wang ASEAN juga boleh terkesan oleh peningkatan semula mendadak dalam jangkitan COVID-19 yang mendorong kepada pelaksanaan semula langkah sekatan pergerakan di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Katanya, kemunculan varian COVID-19 seperti beta, delta dan lambda dengan kadar jangkitan serta kematian tinggi akan menjejaskan usaha pemulihan di rantau ini.

"Kesan kepada ekonomi berikutan peningkatan perbelanjaan untuk sistem penjagaan kesihatan dan kehilangan output dapat menjejaskan sentimen pelabur dan oleh itu mendorong prospek kemerosotan dalam mata wang serantau," katanya.

Rabu lalu, ringgit diniagakan melepasi paras RM4.20 berbanding dolar AS berikutan pelabur lebih berhati-hati susulan peningkatan kes harian COVID-19 di negara ini melepasi 10,000 kes.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini