Harga minyak mentah catat penurunan mingguan terbesar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah catat penurunan mingguan terbesar


NEW YORK: Harga minyak mentah dunia mencatat penyusutan mingguan terbesar sejak Oktober berikutan penularan varian delta COVID-19 di China dan di tempat lain di dunia menimbulkan keraguan terhadap pertumbuhan permintaan.

Niaga hadapan West Texas Intermediate susut 1.2 peratus pada Jumaat dan 7.7 peratus untuk minggu baru berakhir.

Dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat berikutan laporan pekerjaan AS yang lebih baik daripada dijangkakan, melemahkan daya tarikan komoditi yang harganya dalam denominasi mata wang itu.

China telah mengenakan sekatan yang semakin ketat terhadap pergerakan untuk memerangi penularan varian yang mematikan itu, sementara catatan rekod dalam kes harian di Thailand dan Sydney, Australia.

"Pasaran bertindak balas terhadap kebimbangan bahawa varian Delta, terutama di Asia, akan menjejaskan pergerakan secara ketara," kata Ketua Strategi Komoditi Global TD Securitires, Bart Melek.

Setelah minyak mentah meningkat pada separuh pertama tahun ini dengan peningkatan permintaan, perkembangan terkini pandemik membatasi harga bukan saja minyak mentah tetapi juga beberapa komoditi lain.

Premium untuk kontrak semasa WTI berbanding niaga hadapan bulan kedua, menyempit kepada 18 cent setelah mencapai 72 cent seminggu sebelumnya, menunjukkan kebimbangan berterusan mengenai permintaan.

"Pasaran minyak berdepan kesukaran minggu ini," kata Penganalisis Kanan Danske Bank A/S, Jens Naervig Pedersen.

"Di satu sisi, pasaran bimbang mengenai implikasi ekonomi daripada penularan varian Delta, tetapi di sisi lain pula, dasar yang akomodatif memberi sokongan yang kukuh," katanya.

Walaupun prospek permintaan dari Asia lemah, terdapat beberapa metrik yang lebih baik di AS, yang mana jalan raya kekal sibuk.

Perjalanan jarak jauh di lebuh raya bagi minggu hingga 1 Ogos hampir sama minggu yang dicatatkan pada 2019, sebelum pandemik itu melanda, demikian mengikut Jabatan Pengangkutan.

Penghantaran petrol ke pasaran Sepanyol melonjak melebihi tahap pra-pandemik bulan lalu.

"Sulit untuk tidak terjebak dalam berita utama yang menunjukkan peningkatan kes, terutama di China," kata Pakar Strategi Kanan Komoditi Australia and New Zealand Banking Group Ltd, Daniel Hynes.

"Bagaimanapun, jika diteliti, langkah yang ketat dilonggarkan di kebanyakan rantau, permintaan nampaknya terus meningkat, dan saya rasa impak gelombang terbaru ini jauh lebih rendah daripada yang sebelumnya," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini