Kabinet baharu yakinkan pelabur, ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kabinet baharu yakinkan pelabur, ringgit mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila pengumuman barisan Kabinet baharu memberikan lebih keyakinan dalam kalangan pelabur terhadap kepimpinan Malaysia, kata ahli Ekonomi Bank Islam, Adam Mohamed Rahim.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat sebanyak 50 mata asas kepada 4.1890/1930 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1940/1965 pada Khamis.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinetnya, yang dibentuk selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional, meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Selain Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang kekal memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dikekalkan sebagai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Seorang lagi penganalisis berkata, sentimen bagi ringgit juga didorong oleh pengukuhan harga minyak mentah yang meningkat 1.44 peratus kepada AS$72.09 setong.

Sementara itu, unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9254/9301 daripada 4.9376/9405 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8044/8084 daripada 3.8075/8102 dan naik berbanding pound British kepada 5.7427/7482 berbanding 5.7659/7693.

Unit tempatan itu, bagaimanapun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1009/1041 berbanding 3.0998/1021.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini