Ringgit dijangka berada antara RM4.19-RM4.21 minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka berada antara RM4.19-RM4.21 minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit kemungkinan mengalami rintangan pada minggu depan dan akan didagangkan dalam lingkungan RM4.19 hingga RM4.21 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

"Cabaran mungkin timbul jika Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan ini akan menyebabkan harga minyak menurun, yang kemudiannya, mempengaruhi ringgit," kata beliau kepada Bernama.

OPEC mungkin mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-20 pada 1 September ini.

"Sekiranya mesyuarat itu diadakan, pelabur akan mengetahui reaksi OPEC terhadap kenyataan Presiden AS, Joe Biden mengenai peningkatan pengeluaran minyak pengeluaran yang perlu dibuat bagi menstabilkan harga petrol," katanya.

Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz menjelaskan penerimaan istana terhadap senarai menteri yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan sedikit rangsangan kepada situasi politik di Malaysia, yang dilanda ketidakpastian sejak peletakan jawatan Perdana Menteri sebelumnya.

"Pada sisi negatif, Malaysia mencapai tahap baharu jangkitan COVID-19 (pada Khamis, sejumlah 24.599 kes) dan ini mungkin akan menjadi pemacu utama kepada penurunan ringgit.

"Daripada sudut teknikal, ringgit mungkin terus jatuh ke arah 4.1750 berbanding dolar AS, yang mana kemungkinan ia akan menerima tahap sokongan yang kuat," katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit mengukuh sepanjang minggu ini susulan pembaharuan keyakinan pelabur berikutan perkembangan politik terkini di Malaysia.

Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinet, yang dibentuk selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional, meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lalu.

Selain Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengekalkan jawatan sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga kekal sebagai Menteri Kanan serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Mustapa Mohamed tetap sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin telah dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menggantikan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, sementara Tan Sri Noh Omar akan membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menggantikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Secara mingguan, ringgit berada pada 4.1890/1930 berbanding dolar AS semalam daripada 4.2380/ 2400 yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain daripada minggu sebelumnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1009/1041 daripada 3.1070/1087 dan naik berbanding pound British kepada 5.7427/7482 daripada 5.7709/7736.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.9254/9301 daripada 4.9474/9498 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8044/8084 daripada 3.8654/8676.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini