Keyakinan pelabur pulih, ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Keyakinan pelabur pulih, ringgit mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan keyakinan pelabur dijangka pulih susulan perkembangan politik terkini negara serta pengukuhan harga minyak, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2245/2275 berbanding dolar AS daripada 4.2380/2400 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata peniaga telah mengambil petunjuk berikutan Perdana Menteri baharu Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah pada Sabtu lalu.

"Berita ini mungkin menyuntik keyakinan pelabur terhadap kepimpinan negara," katanya kepada Bernama.

Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Adam berkata, pengukuhan ringgit turut seiring dengan kenaikan harga minyak mentah Brent yang menokok semula selepas mencatat penurunan terbesar dalam tempoh seminggu melebihi sembilan bulan.

Setakat ini, harga penanda aras minyak mentah Brent menokok 2.95 peratus kepada AS$67.10 setong.

"Bagaimanapun, halangan berkemungkinan masih ada berikutan China, pengimport minyak mentah terbesar dunia telah mengenakan sekatan baharu iaitu dasar 'sifar toleransi' COVID-19, yang menjejaskan rantaian bekalan dan penghantaran global.

"Ini kemudiannya akan menjejaskan prospek permintaan minyak dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, sewaktu ditutup, unit tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun yang mana ia meningkat kepada 3.8387/8414 daripada 3.8654/8676 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1083/1107daripada 3.1070/1087 sewaktu ditutup pada Jumaat, merosot berbanding euro kepada 4.9536/9572 daripada 4.9474/9498 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7740/7781 daripada 5.7709/7736 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini