Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut pada awal urus niaga Rabu, didorong oleh sentimen pasaran yang positif selain penyusutan dolar, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit di paras 4.2110/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2160/2190 pada akhir urus niaga Selasa.

Seorang peniaga berkata, dolar AS kekal rendah susulan sikap para pelabur yang meneliti perkembangan peningkatan kes COVID-19 di negara itu dan berkemungkinan menjejaskan rancangan bank pusat membabitkan urus niaga bon.

Menurutnya, selain memantau perkembangan itu, pelabur juga akan memberi tumpuan terhadap pengumuman Indeks Harga Pengguna di peringkat tempatan yang dijadual diumumkan pada tengah hari ini bagi mendapatkan hala tuju pelaburan yang lebih jelas.

"Kadar inflasi dijangka lebih perlahan susulan kesan asas rendah daripada tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan dengan prestasi bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8345/8381 daripada 3.8429/8459 pada Selasa, naik berbanding pound Britain kepada 5.7766/7821 daripada 5.7810/7851 serta meningkat berbanding euro kepada 4.9437/9484 daripada 4.9458/9493, semalam.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1082/1114 daripada 3.1075/1100, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini