Ringgit dibuka lemah pagi Isnin - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lemah pagi Isnin


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pada pagi Isnin minggu ini sedikit lemah dengan pelabur masih lagi bimbang dengan kes tertinggi harian COVID-19 di Malaysia.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.2230/2250 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.2180/2205 pada Jumaat minggu lalu.

Malaysia mencatatkan 20,889 jangkitan baharu COVID-19 pada Jumaat, angka tertinggi sejak pandemik itu bermula tahun lalu tetapi jumlah kes positif baharu menurun kepada 18,688 pada Ahad dengan 360 kematian direkodkan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Ahad mengenai pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial amat dinanti-nantikan.

"Berita itu sedikit sebanyak mencetuskan beberapa sentimen baik untuk mata wang tempatan yang sejak kebelakangan ini agak lesu, terutama disebabkan oleh lonjakan kes COVID-19 dalam negara," katanya kepada Bernama.

Antara kelonggaran yang diberikan termasuk merentas daerah atau negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi turut dibenarkan berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Negeri yang telah beralih ke Fasa Dua dan berikutnya di bawah Pelan Pemulihan Negara dibenarkan 'dine-in' di restoran untuk mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8300/8322 daripada 3.8415/8442 pada penutupan Jumaat minggu lalu dan meningkat berbanding euro kepada 4.9633/9656 daripada 4.9815/9844.

Ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1152/1169 daripada 3.1219/1240 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8548/8575 daripada 5.8685/8720.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini