Ringgit terus mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus mengukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menjelang pengumuman data ekonomi AS dan pengukuhan harga minyak, kata seorang peniaga.

Pada pukul 6 petang, ringgit berada pada 4.2160/2190 berbanding dolar AS daripada 4.2245/2275 ketika ditutup pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran sedang menunggu data mengenai jualan rumah baharu AS yang berkemungkinan akan memberi petunjuk baharu mengenai kedudukan ekonomi AS.

"Pada Khamis, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS akan menjadi tumpuan utama, angka lebih rendah daripada jangkaan akan menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan rangsangan kewangan sebanyak AS$120 bilion bulanannya dalam tempoh yang lebih lama untuk memberi kesan yang diperlukan terhadap ekonomi.

"Ini boleh melemahkan dolar AS dalam jangka masa sederhana. Daripada sudut teknikal, dolar AS berbanding ringgit boleh merosot sehingga serendah 4.1750 sebelum kembali kukuh," katanya.

Selain itu, Diniz pelabur akan melihat kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk Malaysia yang dijadualkan akan dikeluarkan esok kerana ia dapat memberikan maklumat penting mengenai pemulihan ekonomi negara.

Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 1.16 peratus kepada AS$69.55 setong.

Pada penutupan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1075/1100 daripada 3.1083/1107 pada Isnin dan melonjak berbanding euro kepada 4.9458/9493 daripada 4.9536/9572 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7810/7851 daripada 5.7740/7781 ketika ditutup pada Isnin dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.8429/8459 daripada 3.8387/8414 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini