Dagangan ringgit bermula lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
JustForex

Dagangan ringgit bermula lemah



KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Rabu ketika peniaga menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) selain pengumuman laporan data pekerjaan AS pada Khamis.

Pada 9 pagi ini, mata wang tempatan susut kepada 4.1565/1595 berbanding dolar AS daripada 4.1545/1560 pada akhir urus niaga Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata ringgit kini diniagakan pada paras 4.1540.
"Dari sudut teknikal, jika perbandingan dolar AS dan ringgit mencecah paras di bawah 4.1430, ini akan seterusnya membawa ke paras 4.1200 dan mendapat sedikit sokongan.

"Sebaliknya, jika paras itu melepasi 4.1600, paras seterusnya boleh mencecah 4.2100 dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Menurut dapatan tinjauan agensi media Reuters pada Selasa, BNM dijangka mengekalkan kadar OPR pada mesyuarat minggu ini ketika Malaysia membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat susulan peningkatan kadar pemberian vaksin COVID-19.

Beberapa penganalisis percaya penurunan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 berkemungkinan mencetuskan spekulasi pasaran mengenai tindakan BNM untuk mengurangkan lagi OPR dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi.

Selain itu, pada awal urus niaga pagi ini, ringgit lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0894/0919 daripada 3.0902/0918 pada akhir urus niaga Selasa dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7687/7718 daripada 3.7785/7799 sebelum ini.
Unit tempatan itu turut naik berbanding euro kepada 4.9238/9273 daripada 4.9314/9332 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7297/7339 daripada 5.7403/7423, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini