Harga minyak mentah kembali melonjak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah kembali melonjak


SINGAPURA: Minyak mentah Brent kembali melonjak selepas merosot selama dua hari disokong data pertumbuhan eksport China luar jangka sekali gus menambah isyarat ekonomi yang positif di negara pengguna tenaga utama dunia.

Niaga hadapan di London meningkat 0.5 peratus menghampiri paras AS$73 setong.

Pertumbuhan import dan eksport China pada Ogos melepasi jangkaan kaji selidik Bloomberg ke atas ahli ekonomi dengan aliran masuk minyak mentah antarabangsa melonjak ke paras tinggi bagi tempoh lima bulan.

Data perdagangan kukuh menambah prospek lebih baik di Eropah, di mana permintaan minyak mentah melonjak selepas tempoh beberapa bulan sekatan pergerakan dilaksanakan akibat peningkatan semula jangkitan COVID-19.

Ahli Strategi Kanan OANDA Asia Pacific Pte, Jeffrey Halley, berkata angka perdagangan akan 'mengurangkan sedikit kebimbangan penurunan di China'.

"Angka ini dapat membantu harga minyak kekal tinggi sepanjang sesi hari ini," katanya.

Pergerakan harga minyak menghadapi ketidaktentuan dalam tempoh beberapa bulan lalu selepas harga melonjak hampir 50 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Penularan pantas varian COVID-19, Delta telah meningkatkan kebimbangan ke atas permintaan walaupun China berjaya menangani wabak terbaharu itu dengan pantas.

Terdapat jangkaan bahawa pasaran akan menjadi lebih ketat dalam tempoh baki tahun ini dan minggu lalu, OPEC+ yang menjangkakan pemulihan akan menjadi lebih pantas, bersetuju untuk terus meningkatkan bekalan setiap bulan.

Pasaran minyak mentah dibuka lebih lemah pada Isnin selepas langkah Arab Saudi menurunkan harga minyak ke Asia bulan depan melebihi jangkaan, mengejutkan peniaga dan menimbulkan kebimbangan mengenai gambaran sebenar permintaan jangka pendek.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini