Minyak mentah naik, ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Minyak mentah naik, ringgit ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat di tengah-tengah pengukuhan harga minyak mentah Brent, memandangkan harganya menjadi faktor penentu pergerakan unit tempatan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang Jumaat, unit tempatan mengukuh kepada 4.1445/1475 berbanding dolar AS daripada paras 4.1570/1600 pada Khamis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pada awal minggu ini Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya menyemak semula unjuran pertumbuhan permintaan minyak bagi 2022 kepada 4.2 juta tong sehari, meningkat daripada 3.28 juta tong sehari sebelum ini yang berpotensi meningkatkan pengeluaran pada masa depan.

"Pertubuhan itu menjangkakan permintaan meningkat kepada 5.95 juta tong sehari tahun ini selepas mencatatkan penurunan kira-kira sembilan juta tong sehari pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19," katanya.

Hari ini, penanda aras minyak mentah Brent menokok 0.51 peratus kepada US$78.40 setong.

Selain itu, katanya, pengukuhan ringgit juga disebabkan oleh penurunan kes harian COVID-19 di Malaysia hari ini.

Jumlah kes COVID-19 baharu yang dicatatkan di Malaysia hari ini menurun kepada 19,378 berbanding 20,988 semalam.

Sementara itu, unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0876/0903 daripada 3.0930/0955 pada Khamis, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7705/7735 daripada 3.7801/7832 dan menokok berbanding euro kepada 4.9195/9231 daripada 4.9265/9300 ketika ditutup semalam.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound British kepada 5.7352/7393 daripada 5.7333/7375 sebelum itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini