Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat menjelang laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan akan dikeluarkan hari ini, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1490/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1570/1600 semasa ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data senarai gaji bukan ladang AS merupakan petunjuk paling penting untuk situasi ekonomi di AS dan pasaran menjangka kira-kira 750,000 pekerjaan baharu telah diwujudkan sejak bulan lalu.

"Data ini penting berikutan ia memberi petunjuk mengenai pelarasan masa depan yang mungkin diambil oleh Rizab Persekutuan AS terhadap dasar monetarinya," katanya.

Diniz berkata angka utama lain ialah kadar pengangguran AS, yang dijangka merosot daripada 5.4 peratus kepada 5.2 peratus.

"Jika kadar pengangguran dicatatkan di bawah jangkaan, ini boleh menyebabkan bank pusat AS menarik balik rangsangan kewangannya lebih cepat daripada jangkaan, yang juga boleh mendorong dolar lebih tinggi," katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0919/0936 daripada 3.0930/0955 semasa ditutup pada Khamis dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7756/7778 daripada 3.7801/7832 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding pound kepada 5.7439/7466 daripada 5.7333/7375 dan rendah berbanding euro kepada 4.9298/9322 daripada 4.9265/9300 semasa ditutup semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini