OPR kekal, ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

OPR kekal, ringgit ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 1.75 peratus, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1470/1500 berbanding dengan dolar AS daripada 4.1495/1530 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keseimbangan risiko masih cenderung kepada negatif.

Beliau berkata, pada masa sama, bank pusat juga mengakui bahawa kadar vaksinasi COVID-19 yang pantas akan membolehkan penyambungan aktiviti ekonomi dengan lancar sekali gus membawa kepada trajektori pertumbuhan lebih baik pada 2022.

"Justeru, keputusan seterusnya oleh BNM pasti bergantung kepada data yang akan datang.

"Oleh yang demikian, ia agak cair dengan mengambil kira peningkatan kes COVID-19 baharu di banyak negara di dunia menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi boleh terkekang," katanya kepada Bernama.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM kali kelima pada Khamis memutuskan OPR kekal tidak berubah pada 1.75 peratus.

MPC berpandangan pendirian dasar monetari itu kekal wajar dan akomodatif.

"Selain itu, langkah fiskal dan kewangan akan terus menyokong kesan ekonomi ke atas perniagaan dan isi rumah di samping menyediakan bantuan kepada aktiviti ekonomi," jelas MPC.

OPR kekal pada 1.75 peratus sejak 7 Julai, 2020.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada penutupan.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0860/0885 daripada 3.0828/0857 ketika ditutup pada Rabu serta lemah berbanding euro kepada 4.9063/9103 daripada 4.9026/9068.

Ringgit juga rendah berbanding yen kepada 3.7727/7758 daripada 3.7632/7672 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7303/7345 daripada 5.7082/7129.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini