Permintaan tinggi dolar AS, ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Permintaan tinggi dolar AS, ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pengukuhan dolar yang dipacu peningkatan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan pembelian aset akhir tahun ini, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.1855/1870 berbanding dolar AS ketika ditutup 4.1830/1855 semalam.

Peniaga berkata, dolar AS sebahagiannya disokong kebimbangan mengenai persekitaran kecairan lebih ketat berikutan amaran Setiausaha Perbendaharaan AS mengenai risiko kehabisan wang kerana Senat gagal mengemukakan rang undang-undang untuk menangguhkan had hutang.

"Namun demikian, laporan data ekonomi positif dengan jumlah penjualan rumah tertunda di AS melonjak 8.1 peratus bulan ke bulan pada Ogos, meningkat berbanding penguncupan dua peratus pada Julai, sekali gus mengatasi unjuran pasaran iaitu 1.4 peratus," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley menegaskan dolar AS mungkin menerima aliran masuk berkaitan dengan pasaran bon atau pembeli budiman yang bimbang dengan perkembangan negatif di seluruh dunia.

Ketika ditutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0760/0775 berbanding 3.0821/0844 penutup Rabu dan meningkat berbanding pound British kepada 5.6308/6328 daripada 5.6579/6613 sebelumnya.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8531/8548 daripada 4.8799/8828 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7394/7407 daripada 3.7586/7609.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini