Ringgit ditutup kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melepasi paras 4.1400 berikutan penurunan berterusan mata wang itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS dilihat merosot kepada 92.371 meskipun data tuntutan bantuan pengangguran AS yang lebih baik daripada dijangkakan bagi minggu berakhir pada 4 September.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan tinggi pada 4.1340/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1500 ketika ditutup pada Khamis.

"Kami percaya kelewatan yang dijangkakan dalam program pengurangan pembelian aset mungkin menjadi pendorong kepada peningkatan mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk unit tempatan," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain pada penutup dagangan.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7592/7623 daripada 3.7727/7758 pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.8934/8970 daripada 4.9063/9103.

Unit tempatan bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0867/0892 daripada 3.0860/0885 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7347/7388 daripada 5.7303/7345.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini