Terapkan Prinsip Agile Untuk Meningkatkan Prestasi Anda Di Pasaran - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Terapkan Prinsip Agile Untuk Meningkatkan Prestasi Anda Di Pasaran

Sekiranya anda pernah bekerja di bidang IT atau syarikat besar, anda mungkin pernah mendengar mengenai Agile. Syarikat-syarikat sering menggunakan Agile untuk meningkatkan produktiviti ke tahap yang lebih tinggi dan yang paling penting, memastikan produk mereka memenuhi keperluan pelanggan kerana itulah yang menjadikan mereka berjaya.

Kami di sini untuk memberitahu anda bahawa Agile boleh digunakan untuk apa sahaja yang anda lakukan, termasuklah perdagangan.

Pertama sekali, mari kita ketahui apa itu Agile. Menurut penciptanya, Agile bukanlah satu metodologi atau sistem yang dibina dari peraturan-peraturan yang ketat untuk anda ikuti. Lebih-lebih lagi, peraturan yang ketat itulah yang ingin dielakkan oleh Agile.

Nama falsafah ini sendiri pun Agile (tangkas, lincah, cerdas)! Kamus mendefinisikan perkataan 'agile' sebagai 'mampu berfikir dengan cepat dan jelas' atau 'mempunyai perwatakan yang tangkas, banyak akal dan mudah menyesuaikan diri'. Definisi ini sejajar dengan apa yang dicadangkan oleh Manifesto Agile.

Tanpa mengulas dengan terlalu terperinci, Agile adalah sekumpulan nilai dan prinsip di mana fleksibiliti dan respons terhadap perubahan menjadi keutamaan. Nah, memang inilah yang diperlukan oleh setiap pedagang!

Manifesto Agile menggariskan 12 prinsip. Namun ingat bahawa prinsip-prinsip ini ditaakul dengan industri pembangunan perisian sebagai fokus utamanya, jadi tidak semua prinsip ini sesuai untuk diterapkan secara langsung pada kegiatan lain. Walau bagaimanapun, jika anda menganggap ini sebagai idea asas yang membantu mengembangkan mindset yang 'agile' (secara harfiah), kita boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih sesuai untuk perdagangan.

Daripada 12 prinsip Agile tersebut, kami memilih beberapa yang paling berharga untuk digunakan dalam perdagangan anda. Inilah dia:

Prinsip 2: Alu-alukan perubahan syarat/keperluan, walaupun di peringkat akhir projek/pembangunan.

Bagi pedagang, ini bererti tidak terikat dengan mana-mana pergerakan yang spesifik di pasaran. Sekiranya trend berubah dan analisis mengesyorkan bahawa pesanan anda mungkin akan rugi, jangan tunggu untuk melihat apakah harga akan berpatah balik dan hadkan kerugian anda secepat mungkin. Di pasaran, tidak wujud istilah 'sudah terlambat' untuk membuat perubahan!

Prinsip 8: Agile mempromosikan pembangunan yang lestari. Para penaja, pengaturcara, dan pengguna harus berupaya untuk mengekalkan rentak yang sama selama-lamanya.

Ingat bahawa perdagangan seharusnya seperti maraton, bukan larian pecut. Masa berkerja yang seimbang sekian jam sehari tanpa melelahkan diri anda beberapa hari pertama anda di pasaran. Ini memerlukan tekad yang serius, tetapi kerja yang dilakukan secara konsisten membawakan hasil yang konsisten juga. Usaha yang perlahan tetapi konsisten lebih menjamin kejayaan!

Prinsip 11: Senibina, syarat, dan reka bentuk yang terbaik lahir dari pasukan yang mampu menguruskan diri sendiri.

Tidak seperti dalam pembangunan perisian atau IT, dalam perdagangan biasanya anda bekerja bersendirian. Ini bermaksud anda adalah boss dan anda juga pekerja: anda mengatur semua proses kerja dan menentukan sasaran. Untuk melakukan semua itu dan malah lebih dari itu, anda haruslah teratur dan terurus dengan baik. Duduk dan tuliskan senarai matlamat anda - adakah anda ingin menjadi pedagang sepenuh masa, atau adakah ia sekadar hobi atau pekerjaan sampingan dengan sedikit masa terluang yang anda ada? Apa sasaran kewangan anda, modal permulaan anda, <pengurusan risiko dan strategi perdagangan anda? Cuba rangka pelan perdagangan dengan mempertimbangkan semua ini, tetapi jangan terlalu kaku dengannya – pasaran sentiasa berubah, psikologi anda juga berubah, dan rancangan anda juga harus mampu berubah.

Prinsip 12: Secara berkala, pasukan bermuhasabah bagaimana mereka boleh berkerja dengan lebih efisien, kemudian menyesuaikan tingkah lakunya dengan sewajarnya.

Sekarang, bila bercakap soal mengubah pelan, prinsip seterusnya ini terlintas di fikiran. Tidak ada rancangan yang sempurna, terutama dalam keadaan pasaran yang berubah-ubah dan terutama untuk pedagang yang tidak pernah berhenti belajar! Adalah idea yang baik untuk menetapkan jangka masa, seperti seminggu, dua minggu, atau bahkan sebulan, di mana selepas waktu itu anda akan duduk dan merenung semula semua strategi, matlamat, dan aliran kerja anda. Tandakan tarikh ini di kalendar dan cuba tidak lupa tentangnya – ini peluang anda untuk mencapai pertumbuhan yang konsisten.

Kami yakin proses perdagangan anda mampu naik ke tahap yang lebih baik dengan penggunaan prinsip Agile. Tinjau prinsip-prinsip lain (ada 12 kesemuanya) untuk ketahui lebih lanjut mengenai cara mendapatkan mindset yang fleksibel dan menerapkannya pada pekerjaan dan kehidupan anda.

Ingat: rancangan yang sempurna adalah rancangan yang dapat disesuaikan dengan sebarang perubahan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini