Ringgit teruskan trend peningkatan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan trend peningkatan

 


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh sentimen positif pelabur yang terus mengambil petunjuk daripada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang mengukuh 43.4 pada bulan lalu berbanding 40.1 pada bulan Julai 2021.

Mata wang tempatan dilihat meneruskan trend menaik minggu lalu berbanding dolar AS.

Berdasarkan peningkatan mingguan, ringgit meningkat kira-kira 1.07 peratus berbanding dolar AS pada Jumaat sebelum ini.

Pada jam 9 pagi, nilai ringgit naik kepada 4.1410/1440 daripada penutupan Jumaat 4.1445/1475.

Selain itu, turut menyokong ringgit ialah sentimen lemah data pekerjaan AS yang dikeluarkan pada hari Jumaat yang secara automatik memberi isyarat kepada Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengekalkan kos meminjam dolar AS pada kadar rendah sambil memelihara pemulihan ekonomi.

Selepas Fed, bank pusat di negara-negara membangun turut bersedia mengadakan mesyuarat dasar masing-masing minggu ini yang akan menyediakan hala tuju kepada peniaga.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memulakan mesyuarat dasar monetarinya selama dua hari, bermula Khamis.

Penganalisis menyatakan bank pusat cenderung untuk mengekalkan kadar faedah semalaman pada 1.75 peratus.

Pada paras pembukaan, nota tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0850/0877 daripada 3.0876/0903 pada Jumaat, menyusut berbanding yen kepada 3.7707/7734 daripada 3.7705/7735 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7369/7411 daripada 5.7352/7393.

Berbanding euro, unit tempatan meningkat kepada 4.9187/9222 daripada 4.9195/9231.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini